BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, August 18, 2009

=> Kenapa Menolak Sedangkan Dia Memberi? =>

Bismillah...
Selawat dan salam keatas junjungan besar, Muhammad Rasulullah...

Maksud firman Allah S.W.T :

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Az-Zumar : 53


Siapa yang sentiasa menolak dan siapa pula yang sentiasa memberi?

Mahu saya ertikan disini sang memberi itulah Allah dan sang penolak itulah manusia. Angkuh sungguh bukan sang penolak itu, angkuh? Kenapa angkuh pula? Sedangkan apa yang diberi dan apa yang ditolak itupun saya belum jelaskan. Sabar. Jangan menghukum tanpa ilmu, jangan menyerang sebelum menerang. Izinkan.

Setiap yang bergelar manusia pastinya tidak mungkin melarikan diri dari suatu hakikat, KESILAPAN! Mana mungkin kita tidak tersilap, mana mungkin kita tidak terlupa, sedangkan Rasulullah S.A.W sendiri memungkinkan diri baginda tersilap, apatah lagi kita insan biasa yang cacamarba ini.

Ah, tentu sekali sehari hari bergelumang dengan kesilapan, besar atau kecil sama saja kelakuannya, si kecil dengan kesilapan kecilnya si besar dengan kesilapan besarnya, begitulah selanjutnya. Beruntai untai kesalahan dan kesilapan. Mahu menghitung? Silakan...

Apa pula jadinya dengan MENOLAK dan MEMBERI tadi? Begini lanjutannya.

Pasti pernah bukan, setelah melakukan suatu kesilapan atau kesalahan. Terasa berat dan besarnya beban dosa yang dipikul bagai memikul dunia seisinya, pernah rasa begitu? Pernah terasa kesilapan yang dilakukan bagai tiada sudahnya?

Bagai memikul satu junjungan dosa di atas kepala dan ditayang-tayang pula kepada semua. Semua melihat kejelikan kita. SEMUA!

Atau pernah menangis pada zahirnya diikuti tangis hati pula, menyalah-nyalahkan diri atas kelemahan sendiri. Menyendiri, sendirian merintih sayu, tiada lagi tempat mengadu, tiada lagi tempat berpaut, tiada lagi tempatku di dunia. Mahu kemana? Terjun bangunan 44 tingkat? Silakan. Jika sudah bosan membaca.

QURRA' sekalian. Pernah atau tidak merasa begitu? Atau tidak pernah? Tidak? Jika tidak jawapannya, maka silakan segera mencari 'RASA' itu kerana dengan 'RASA' itulah dapat menunjukkan kalian masih punya hati dan jiwa. Menunjukkan kalian masih dengan ayat-ayat NYA.

Maksud firman Allah :

"Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan sembahyang), Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud. Sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
As-Shu'araa : 218 - 220


Begitu saja? Dengan punya rasa begitu sudah cukup? Merintih-rintih sendiri di balik pintu sambil menyalahkan diri? Membawa perasaan pilu seolah-olah tiada siapa yang mahu menjeling kearah kita. Apakah betul dengan punya rasa begitu kita sudah cukup untuk dikira hambanya yang patuh?

Kalau ditanya dengan kelakuan itu menunjukkan kalian masih punya rasa jawapannya ya! Tapi kalau begitu kelakuannya, kalian boleh digelar insan yang punya rasa dan sudah berputus asa...:)

Mungkin amat besar kesilapan dan kesalahan yang pernah kita kerjakan, mungkin juga kecil. Tetapi ingatlah teman yang saya kasihi dan ingatan kepada diri sendiri jua, jangan sesekali berputus asa dari rahmat Allah! DIA masih lagi tidak lekang dalam MEMBERI. Kenapa kita mahu MENOLAKnya? Rahmat dah kasihNya tidak pernah lekang untuk kita teman, cuma kita saja yang seringkali menolak dan terus menolak.

Alangkah rugi menolak anugerah. Sebesar mana pun kesilapan dan kesalahan, ingatlah DIA masih lagi tidak lokek dalam MEMBERI.

Maksud sabda Rasulullah SAW :

"Sesungguhnya Allah SWT malu membiarkan hambaNya kembali dengan tangan hampa, ketika seorang hamba berdoa kepada tuhannya."
HR Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah


Alangkah manisnya bait-bait kata itu, tidakkah QURRA' sekalian dapat merasa akan kemanisan itu. Alangkah bersifat MEMBERI-nya sang Pencipta Yang Maha Kuasa. Adakah kita tidak sudi mendapatkan pemberian dariNya? Mahu apa? Keampunan, kesejahteraan? Hadapkanlah sepenuh pengharapan dan keyakinan kepadaNya wahai teman! insyaAllah...

Maksud firman Allah SWT :

"Berdoalah kamu kepadaKu nescaya aku perkenankan doa permohonan kamu."
Ghafir : 60


Janganlah terlalu terbawa bawa kesedihan dan duka lara itu, bergembiralah dengan janji Allah, yakinlah, pohonlah padaNya. Jangan sesekali berputus asa dari rahmatNya kerana itu perbuatan sia2 membawa murka. Jangan begitu QURRA' sekalian, mengapa mahu MENOLAK sedangkan DIA MEMBERI?

Kesedihan yang datang itu pastinya kerana melengkapi fitrah sebagai manusia yang masih punya rasa, tetapi jangan jadikan ia sebagai ratapan rutin yang sia-sia. Kuatkan dan tabahkan diri, NurNya ada dimana mana. Segelap mana pun bahagian diri ini pasti NurNya akan menyinggahi diri selagi masih ada mahu memperolehnya.

Jangan biarkan diri menjadi sang putus asa yang tidak punya rasa, tinggalkan duka lara itu dan pohonlah padaNya dengan keyakinan yang teguh. Pasakkan betul keimanan nan utuh agar tidak lagi terumbang ambing di ulit ombak perasaan.

Maksud firman Allah SWT :

"Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Az-Zumar : 53


Teruskan meminta, sesungguhnya Allah merindui rintihan hamba-hambaNya bahkan murka kepada si hamba yang tidak mahu meminta, sedarlah hakikat diri sebagai hamba dan sedarlah hakikat Yang Maha Kuasa itu punya sifat MEMBERI yang tiada tolok bandingnya.

Usah lagi meratap kesalahan dan kesilapan sampai membawa mudarat diri, bangkitlah menuju fasa baru kehidupan yang lebih bermakna. Usah MENOLAK lagi! Sujud dan pohonlah kepadaNya. Pasti DIA MEMBERI!

wallahu'alam

Sunday, July 19, 2009

-->Cerita Kerang


Ini cerita seekor kerang...Cerita pengajaran...Cerita sastera...Cerita kita.

Seekor makhluk Allah yang hidup dalam dunianya yang tersendiri. Begitu sukar ditafsir oleh pancaidera manusia. Kehidupannya sama seperti kita; seandainya kita adalah kerang.

Angin taufan yang melanda pantai laut Mediteranean bulan itu amat kuat sehingga meniupkan tiupan angin yang bukan kepalang, lalu angin itu ditafsir menjadi gulungan ombak yang menggila sepanjang pantai. Ia takut, risau dengan keselamatannya. Lantas ia tetap menyorok dalam cangkerangnya. Lama ia begitu, biarpun kelaparan tetap bertahan. Tanpa melihat keluar walau sejenak pun. Adakalnya ia bergolek-golek; dek kerana hempasan ombak setinggi langit baginya. Lalu ia berdoa, semoga tetap bertahan.

Kembali muhasabah erti sebuah kehidupan. Terkenang ia akan sebulan yang lalu, pantai itu begitu tenang. Pantai yang terletak di salah sebuah daerah Mesir; Dumyat. Keriangan petang itu bersama rakan-rakannya yang lain masih terasa hingga kini. Tika itu, seluruh ahli keluarganya berkumpul bersama-sama, makan bersama-sama dan gelak ketawa silih berganti. Alangkah riangnya hati. Semua kerang membuka luas cangkerangnya, begitu banyak makanan yang dapat diperoleh. Dia dapat melihat seluruh dunianya; dunia terumbu karang.

Namun kini, segalanya berubah. Ingatkan panas hingga ke petang, namun hujan di tengah hari. Pernah sekali ia cuba melihat keluar dalam ngauman ombak tatkala itu. Astaghfirullah... Segala-galanya hancur, mati dan binasa. matanya terpaku kepada sekujur cangkerang; seolah biasa melihatnya. "Maak!.." Itu sahaja kalimah yang terlafaz pada mulutnya. Dalam linangan air mata ia cuba mendekati tubuh itu. Mati. Tiada apa yang boleh diusahakan. Dia lantas menoleh ke sekelilingnya, segala-galanya hancur! cangkerang siput, kerang dan ketam bergelimpangan di sana-sini. Ia amat takut, trauma melihatnya. Dia lantas pergi dari situ, meninggalkan sekujur tubuh kaku insan tercinta.

Tiba-tiba ia terlihat seekor kerang yang masih teguh cangkerangnya, cantik, indah. Ia cuba mendekati perlahan-lahan, dengan harapan menemukan kerang hidup yang lain. Ombak menghempas lagi. Cepat-cepat ia masuk ke dalam perlindungannya. Setelah reda ia cuba membuka kembali pintu cangkerangnya. "Ya Allah!..." Alangkah terkejutnya ia, kerang tadi yang begitu indah luarannya terbuka luas mulutnya. Hanyir dan busuk. Kelihatan beberapa ekor ulat sedang memamah jasadnya. Ulat itu menggelitik-gelitik. Menggelikan, matanya melihat, otaknya mentafsir lalu meghasilkan satu emosi yang kurang menyenangkan. Ia mual dan termuntah di situ. Kerang itu sedih dan duka. hatiya benar-benar menangis, pilu mengenangkan nasib diri. Lalu atas tikar kesedihan itu ia bermunajat kepada Ilahi. Biar betapa kuat ombak menghempas, ia tetap bertahan. Ya tetap bertahan dalam cangkerangnya.

Begitulah juga kehidupan seorang manusia wahai sahabatku. Kita ini ibarat kerang. Dunia kita ialah pantai. Adakalanya arus laut terlalu tenang, indah, senang dan perlahan. Lantas kita lupa, kita alpa dengan kesenangan yang hanya sementara. Kita juga lupa bahawa kita hanyalah kerang yang lemah, menumpang dalam pentas kehidupan. Sungguh, zaman remaja kita amatlah hebat ombak cabarannya wahai sahabatku, walaupun kita tidak menyedari hakikat ini. Fenomena-fenomea kebejatan sosial dan kehancuran akhlak adakalanya tidak disedari oleh kita.

Jarum-jarum thaghut telah mencucuk hati kita melalui media-media, majalah, surat khabar dan internet. Maka ramai yang hatinya mati, seperti matinya kerang-kerang, siput-siput dan ketam-ketam dalam kisah di atas. Hanyalah bahtera iman yang akan melayarkan kita ke destinasi yang abadi. Perkasakanlah iman dengan al-Quran dan solat malam. Sentiasa berdamping dengan Quran, kerana ia akan menyalakan semangat perjuangan. Manakala solat malam (qiamullail) akan memantapkan hati, meneguhkan jiwa dan melancarkan lidah.

Adakalanya kita perlu beruzlah (mengasingkan diri) dalam cangkerang keimanan kita. Ombak di luar sana amat hebat sahabatku. Berlindunglah dalam cangkerang keimananmu. Semoga hati kita sentiasa bersih dan suci. Kerang itu masih di situ. Berteleku dalam munajatnya di hadapan wajah Tuhan. Kerang itu teguh dan kuat, tatkala yang lain kalah, ia dapat bertahan. Kisah kerang; analogi kehidupan insan. Ada yang kalah dan mati, ada yang hidup dan tetap bertahan. Sekiranya seekor kerang dapat bertahan di pantai ombak ganas yang membinasakan, mampukah kita bertahan dalam arus dunia keremajaan?

Saturday, July 18, 2009

--> Senyuman Rasulullah Banyak Bantu Misi Dakwah

BUKAN sukar untuk menghadiahkan senyuman tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan. Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya.

Ada beberapa hal menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda.

Disebabkan itu, Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar,

“Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya.”
(Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban)

Seorang lagi sahabat Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan,

“Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW."
(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata,

“Aku bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.”

Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada orang yang tidak disukai. Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah berkata:

“Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda: Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?”

Imam al-Khataby ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan ilmu". Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut Ghibah. Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya.

Kerana Baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.

Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai, Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan).

Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

“Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?"

Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda berdiri dan berkhutbah:

“Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah! Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.

Tuesday, June 30, 2009

->>CINTA Syawal

Suatu ketika Syawal terlibat pembicaraan dengan gurunya….

Syawal mempertanyakan makna cinta dan gurunya pun menjawab:
“Masuklah kedalam hutan, pilih dan ambillah satu batang ranting yg menurutmu paling baik, tetapi engkau haruslah berjalan ke depan dan jangan kembali ke belakang.Pada saat kau sudah memutuskan pilihanmu, keluarlah dari hutan dengan ranting tersebut”.

Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal tanpa membawa sebatang ranting pun.Gurunya bertanya, maka jawab syawal: “Saya sebenarnya sudah menemukan ranting yang bagus, tetapi saya berfikir barangkali didepan saya ada ranting yang lebih baik. Tetapi setelah saya berjalan ke depan ternyata ranting yang sudah saya tinggalkan tadilah yg terbaik. Maka saya keluar hutan tanpa membawa apa-apa”.

Guru itupun berkata: “ Itulah makna Cinta ”.



Lalu Syawal pun bertanya apa makna perkawinan. Guru pun menjawab: “ Sama seperti ranting tadi, namun kali ini engkau haruslah membawa satu pokok yg kau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan”.

Maka masuklah Syawal ke dalam hutan dan keluarlah Syawal dengan membawa pohon yng tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu indah.Gurunya pun bertanya, maka jawab syawal: “Saya dapati pohon yang indah daunnya, besar batangnya.. Tetapi saya tak dapat memotongnya dan pastilah saya tak mampu membawanya keluar dari dalam hutan …. Akhirnya saya tinggalkan. Kemudian saya temukan pohon yang tidak terlalu buruk, tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak akan menemukan pohon seperti ini di depan sana. Akhirnya saya pilih pohon ini kerana saya yakin bisa merawatnya dan menjadikanya indah”.

Lalu sang guru berkata: “ Itulah makna Perkahwinan ”.

Begitu banyak pilihan didepan kita seperti pohon pohon beserta rantingnya didalam hutan, tetapi kita mesti menentukan satu pilihan dan bila terlalu memilih tidak satu pun akan kita dapati, kerana kesempatan itu hanya sekali dan kita harus terus maju seperti waktu yang bergilir ke depan, yang tidak pernah tersimpan pada hari kelmarin dan bersemayam pada masa lalu kita.



Disakitkan-NYA kite sekejap, tapi cepat-cepat disembuhkan semula kerana cinta-NYA, disusahkan sedikit agar insaf namun segera di senangkan semula, itulah belaian-NYA.Dimarahkan juga kadang-kadang kerana sayang, namun tidak lama kerana kasih-NYA.Dipangil-pangil kepada-NYA, untuk meminta itu dan ini, Tuhan amat melayani hambanya, tapi si hamba tidak peduli langsung!!

Saturday, June 27, 2009

->>WARKAH UNTUK HAWA

Hawa,

Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Hawa,

Andai engkau belum berkahwin jangan kau risau jodohmu , ingatlah hawa janji Tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam dan sekaligus disususli dengan pertemuan takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Hawa…

Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannnya, lelaki yang warak tdak menilai wanita melalui keayuannya, kemajaannya, serta kemampuannya mengoncang iman lelaki. Tetapi lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya dan yang penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu hawa,

Jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu , kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah memenuhi dan menyinari kekosongna jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi kebahagiaan buat dirimu , cukuplah sekadar cinta adik-beradik serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

Hawa…..

Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah.Cintailah keluargamu kerana kau tak akan jumpa cinta yang bahagia selain dari cinta keluarga. Janganlah sesekali tangan yang mengoncang dunia juga yang menggoncang iman lelaki.

Tuesday, June 23, 2009

->>KITA DAN IBU

Ketika kite berusia setahun, ibu menyuapkan makanan dan memandikan kite..cara kite mengucapkan terima kasih dengan hanya menangis sepanjang malam.

Ketika kite berusia 3 tahun, ibu menyediakan makanan dengan penuh kasih sayang, kite ucapkan terima kasih dengan menumpahkan makanan ke lantai.

Ketika berusia 4 tahun, ibu membeli pensel warna, kite mengucapkan terima kasih dengan menconteng di dinding.

Ketika berusia 5 tahun, ibu membelikan pakaian baru, kite mengucapkan terima kasih dengan begolek dalam lopak air.

Ketika berusia 6 tahun, ibu memimpin kite ke sekolah, kite ucapkan terima kasih dengan mengucapkan TAK NAK!

Ketika berusia 7 tahun, ibu membelikan sebiji bola, kite mengucapkan terima kasih dengan memecahkan cermin tingkap.

Menjelang 8 tahun, ibu membelikan kite aiskrim dan kite mengucapkan terima kasih dengan mengotorkan pakaian ibu.

Ketika berusia 9 tahun, ibu menghantar kite ke sekolah dan kite mengucapkan terima kasih dengan ponteng sekolah.

Menjelang usia 13 tahun, ibu menyuruh kite memakai pakaian menutup aurat, dan kite berterima kasih dengan mengatakan ia tidak mengikut peredaran zaman.

Ketika berusia 14 tahun, ibu terpaksa mengikat perut untuk membayar wang persekolahan dan asrama, kite mengucapkan terima kasih dengan tidak menghubungi ibu sekalipun.

Ketika berusia 17 tahun, ketika ibu menunggu panggilan penting kite bergayut di telefon sepanjang malam.

Pada usia 18 tahun, ibu menangis kegembiraan kite diterima masuk ke IPTA, kite mengucapkan terima kasih dengan bersukaria dengan kawan-kawan.

Ketika berusia 19 tahun, ibu mengheret dan mengangkat beg yang berat ke asrama, kite mengucapkan terima kasih dengan ucap selamat jalan di luar asrama kerana malu dengan rakan-rakan.

Berusia 20 tahun, ibu bertanya sama ada kite ada teman istimewa, kite kata “itu bukan urusan ibu”

Menjelang usia 24 tahun, ibu bertemu denagn bakal menantunya dan bertanya tentang perancangan di masa depan, kite menjawab ‘ibu,toooolonglah!”

Ketika berusia 25 tahun, ibu bersusah payah menangung perbelanjaan perkahwinan.kite mengucapkan terima kasih dengan berpindah jauh.

Pada usia 30 tahun, ibu menelefon member nasihat tentang penjagaan bayi, kite ucapkan terima kasih dengan mengatakan “itu dulu,sekarang moden”

Apabila berusia 50 tahun, ibu jatuh sakit dan meminta kite menjaganya, kite bercerita tentang kesibukan dan kisah ibu bapa yang membebankan anak-anak.

Dan suatu hari, kite mendapat berita ibu meninggal.Khabar itu bagaikan halilintar yang membelah bumi. Dalam lelehan air mata itu, segala perbuatan kite terhadap ibu, menerpa satu persatu.


JIKA IBU MASIH ADA SAYANGILAH DIA.JIKA TELAH MENINGGAL,INGATLAH KASIH SAYANGNYA.SAYANGILAH IBU KERANA KITA HANYA ADA SEORANG IBU.

mak.sayang mak dulu kini n selamamnya =)

Monday, June 22, 2009

->>11 JENIS MANUSIA DIDOA MALAIKAT


PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah:

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"

10. Orang yang sedang makan sahur.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:

"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang melawat orang sakit.


Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

"Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

p/s: Semoga kita tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat.Insyaallah.